Dua rakyat Malaysia maut bertempur tentera Filipina
Sumber Bukit Aman memberitahu BH, secara keseluruhannya enam rakyat Malaysia dilaporkan berada di Mindanao termasuk bekas pensyarah Universiti Malaya, Dr Mahmud Ahmad yang belum diketahui nasibnya, namun empat daripada mereka terbabit dalam pertempuran dengan pihak keselamatan.
Kata sumber itu, Abduraman yang berasal dari Kelantan dan Dr Kamsa dari Kedah, memasuki negara jiran itu antara dua hingga tiga tahun lalu dengan alasan terbabit dalam aktiviti tabligh, namun sebaliknya aktif sebagai anggota militan Daesh.
“Ada antara mereka pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terbabit dalam aktiviti yang memberi ancaman kepada keselamatan,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.
Mengenai laporan kedua-dua terbunuh dalam pertempuran itu, sumber itu berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berhubung dengan pihak berkuasa Filipina bagi mendapatkan pengesahan mengenainya.
“Kita ada terima laporan (dua rakyat Malaysia terbunuh) tetapi perlu dapatkan pengesahan pihak berkuasa Filipina terlebih dahulu,” katanya.
Media Filipina melaporkan Abduraman dan Dr Kamsa adalah antara 13 anggota militan Daesh yang terbunuh dalam pertempuran di pekan Marawi, manakala lima askar serta seorang polis turut terbunuh.
Operasi tentera Filipina di selatan negara itu semakin dipergiatkan selepas Presidennya, Rodrigo Duterter mengisytiharkan pemerintahan tentera di wilayah berkenaan sebagai usaha menghapuskan militan Abu Sayyaf dan Daesh.
Ulasan
Catat Ulasan